KUALA LUMPUR: Seramai 9,800 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap setakat ini, dengan 6,000 lagi pegawai sedang dalam proses pertimbangan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyerap 12,000 doktor kontrak ke jawatan tetap sehingga 2025.

"... dan juga diberikan jaminan oleh mantan menteri yang lepas, yang mengumumkan pada 2023 hampir 4,000 doktor kontrak telah ditetapkan dan proses ini berterusan seingga 2025 iaitu hampir 12,000 doktor kontrak akan ditetapkan.

"Walaupun demikian, kita kena bergerak selaras dengan apa yang berlaku ketika ini iaitu  terdapat proses di mana kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada kita akan meneruskan sistem pencen atau mekanisme baharu dalam persaraan pegawaii-pegawai penjawat awam.

"Tetapi komtimen sehingga 2025, kita akan menetapkan doktor kontrak ini sedang berlaku termasuk di Dungun, Sabah, Sarawak dan Perlis," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam masa sama, Lukanisman menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan doktor kontrak yang berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelas beliau, kemudahan dan insentif yang diterima oleh doktor kontrak adalah hampir sama dengan kemudahan yang diterima oleh doktor-doktor yang berjawatan tetap.

"Antaranya, doktor kontrak turut menerima bayaran insentif perkhidmatan kritikal, elaun waktu bekerja fleksi, elaun tugas atas panggilan dan lain-lain.

"Selain itu kemudahan cuti seperti cuti rehat yang sama dengan doktor berjawatan tetap dan kemudahan cuti setara belajar, bergaji penuh dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

"Doktor kontrak juga diberi peluang untuk melanjutkn tempoh perkhidmatan kontrak sehingga maksimum 11 tahun jika diluluskan pengajian kepakaran," ujarnya.

Sementara itu, Lukanisman memaklumkan pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi melaksanakan kajian menyeluruh berhubung proses discaj pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara dari Institut Jantung Negara (IJN) berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.